Gaya seni Lat

Karya-karya Lat meliputi pelbagai genre. Portfolionya juga beraneka ragamnya, sehingga John A. Lent, seorang cendekiawan kartun Asia, mendapatinya sukar untuk menggolongkan kartunis ini ke dalam mana-mana bidang.[59] Dalam siri Keluarga Si Mamat, Lat melukis slapstik dan satira yang membincangkan pertembungan nilai-nilai tradisional dan moden, diisi oleh cerita jenaka kanak-kanak bermain.[60] Jennifer Rodrigo Willmott, penulis untuk Reader's Digest, berkata:

Watak-watak kartun Lat sentiasa terdiri daripada orang-orang keramaian—orang kampung memakai sarung bercorak petak-petak, pengurup wang berdhoti putih, kakitangan kerajaan Melayu yang memakai busjaket dan juga Lat sendiri: watak yang bermuka leper dan bulat itu; hidungnya senget sedikit dari tengah; rambut keriting hitamnya yang tidak kemas; dan wajahnya yang sentiasa tersenyum menyeringai.[2]
Muliyadi Mahamood, seorang cendekiawan komik, melihat beberapa tahap jenaka dalam karya Lat, terutamanya sedutan komik Keluarga Si Mamat ini.

Dengan menggunakan barisan watak yang besar yang beraneka ragam besar keperibadian dan budaya, Lat boleh mengulas banyak lagi topik berbanding barisan watak yang kecil.[61] Ilmuwan komik Malaysia, Muliyadi Muhamood mengulas bahawa jenaka dalam kartun-kartun Lat dibangkitkan melalui pengertian gambaran dan kata-kata; kata-kata yang terbentuk dari "dialog yang ringkas dan padat" serta mainan kata sementara "riak wajah dan tindak-tanduk" watak-wataknya membantu menonjolkan aspek lucu setiap perkara.[62] Muliyadi berhujah lagi bahawa karya-karya Lat boleh menarik pelbagai tafsiran, yang seorang pembaca akan mentertawakan kartun Lat kerana slapstiknya, manakala seorang lagi akan merasai kelucuannya kerana kritik masyarakatnya yang halus. Sebagai contoh, Muliyadi memetik sejalur komik Keluarga Si Mamat yang diterbitkan pada tahun 1972. Ketika itu, Malaysia berdepan dengan kekurangan guru pendidikan jasmani yang berkelayakan, oleh itu tugas-tugas sebegini diserahkan kepada guru fakulti lain. Lat menggambarkan seorang guru gemuk gedempol yang menjalankan sesi pendidikan jasmani sampai rebah. Muliyadi berpendapat bahawa kartun ini boleh ditafsirkan sebagai usikan terhadap keadaan guru yang menyedihkan itu sebagai gesaan untuk mengkaji semula kurikulum yang diajar (mengubah pendidikan jasmani kepada sesi tak formal), mengulas kekurangan guru, atau lebih-lebih lagi, pembidasan kegagalan kerajaan untuk mengelakkan situasi ini daripada berlaku.[63]

Penceritaan kartun-kartun awal Lat seperti Tiga Sekawan dan Keluarga Si Mamat, dikarang dalam bahasa Melayu.[14] Akan tetapi, karya-karya yang seterusnya dikarang dalam bahasa Inggeris; Scenes of Malaysian Life hanya tersiar dalam akhbar New Straits Times yang berbahasa Inggeris.[64] Laras bahasa Inggeris dalam karyanya mencerminkan penggunaan bahasa campuran "Malglish yang mengandungi sedikit-sedikit perkataan Melayu dan struktur nahu yang lebih ringkas.[65] Setelah menjayakan karya demi karya dalam bahasa Inggeris, Lat khuatir bahawa beliau mungkin menyisihkan rakyat Malaysia yang tidak fasih berbahasa Inggeris. Maka beliau melukis Mat Som, kisah seorang anak kampung yang berpindah ke kota untuk bekerja sebagai penulis lalu melamar seorang gadis kota yang menawan. Komik berbahasa Melayu itu disambut hangat apabila cetakan pertamanya sebanyak 30,000 salinan habis dijual selepas tiga bulan. Wartawan Far Eastern Economic Review, Suhaini Aznam mengulas bahawa kekuatan Lat ialah keupayaannya untuk menggambarkan liku-liku kehidupan seorang lelaki biasa secara satira tanpa apa jua kecenderungan yang ketara.[66]

Gaya awal

Kemahiran seni Lat dipupuk dan diasah sendiri sejak muda lagi. Kartunis ini percaya bahawa beliau mewarisi bakat dan minatnya dari bapanya yang gemar menconteng-conteng serta digeruni kerana sifatnya yang suka berjenaka di kampung.[23][67] Lat berkata bahawa adik-adiknya juga berbakat dalam melukis, tetapi mereka semua tidak berminat untuk mengembangkan bakat mereka.[13] Ibu bapanya giat menggalakkannya supaya mengembangkan kemahiran seninya, namun kadang-kadang bapanya menasihatinya supaya tidak menceburi seni lukis sebagai kerjaya.[68] Beliau juga menerima galakan dari luar keluarganya; guru sekolah rendah Lat, Moira Hew (ilham kepada salah seorang wataknya, Wanita Bercermin Mata Rama-rama),[15] membantu memupuk bakatnya dengan acapkali memintanya suapay melukiskan pelajaran dalam kelas.[14] Ajaran Puan Hew meluaskan minda Lat supaya beliau menjadi lebih peka kepada idea-idea yang berada di luar batas kampung.[69]

Perak Wedding oleh Lat: tema kehidupan sekeluarga dan perincian-perincian di kelilingnya merupakan aspek-aspek penting dalam karyanya; ini juga karya pertamanya dalam Scenes of Malaysian Life.

Gaya seninya mendapat pengaruh awal dari Barat. Begitu juga dengan ramai kanak-kanak Malaysia pada 1960-an, Lat gemar menonton kartun Hanna-Barbera (seperti The Flintstones dan The Jetsons) di kaca TV serta membaca komik yang diimport dari UK seperti The Dandy dan The Beano. Beliau mengkaji dan menggunakan gaya-gaya dan tema-tema dalam bahan-bahan tersebut dalam conteng-contengannya yang terdahulu.[9][22] Selepas pengaruh luar negara dalam hasil kerjanya diperhatikan oleh seorang sahabat keluarga, Lat dipesan oleh bapanya supaya memerhati dan mencari idea dari keadaan sekelilingnya pula. Atas nasihat itu, kartunis muda itu mendekatkan dirinya dengan peristiwa setempat.[22][70] Tiga Sekawan dibayangkan sebagai kisah pembasmian jenayah yang lucu dan berciri tempatan.[44] Keluarga Si Mamat dan watak utamanya dinamakan sempena adik bongsunya, Mamat,[7] dan kisah-kisahnya berasaskan pemerhatian Lat terhadap rakan-rakan sekampung dan sekolahnya.[71] Kartun Bersunat mendapat ilhamnya apabila beliau ditugaskan ke sebuah hospital. Sewaktu berehat daripada menyiasat jenazah-jenazah mangsa jenayah yang dibawa masuk ke bilik mayat, Lat bertembung dengan sesi berkhatan yang dilakukan pada kanak-kanak lelaki Melayu dalam hospital itu. Beliau mendapati bahawa pengalaman kanak-kanak itu agak klinikal, tanpa ciri adat-istiadat yang menyambut upacara kedewasaannya di kampung. Maka Lat terpanggil untuk menggambarkan perbezaan antara kehidupan dalam kampung dan bandar.[72]

Apabila Lat secara rasminya memasuki bidang kartun, beliau memang tidak asing lagi dengan pekerjaan ini. Beliau mendapat manfaat daripada bimbingan Rejabhad, seorang kartunis politik yang berpengalaman. Rejabhad diseganai ramai orang tempatan yang menggelarnya "penghulu kartunis Melayu".[2] Setelah perasan hasil kerja Lat dalam akhbar dan majalah, beliau mula berhubungan dengan kartunis muda itu.[2] Rejabhad menerima permintaan ibu Lat untuk menjaga anaknya yang berusia 15 tahun dalam industri kartun.[44] Beliau sempat memberi tunjuk ajar dan mempengaruhi kebangkitan Lat sebagi kartunis. Maka Lat menyanjung tinggi pembimbingnya Rejabhad sebagai tokoh misali.[73] Mereka saling menaruh kasih sayang dan rasa kagum. 36 tahun selepas membimbing Lat, Rejabhad mengimbau kembali hubungan dengan Lat seperti berikut:

Biarpun berjauhan, namun kita tetap saling dekat di hati. Sewaktu saya berjumpa dengannya, saya berasa kelu lidah. Kerana kasih sayang yang begitu rapat, mulut sudah bisu dan tidak boleh berkata-kata. Lat berada di puncak gunung, tetapi beliau tidak lupa akan rumput di hilir gunung. Ke mana sahaja dia pergi, beliau sentiasa mengaku saya gurunya.[44]

Rejabhad bukan tokoh tempatan pertama yang kuat mempengaruhi Lat. Raja Hamzah yang terkenal dengan komik aksi dan cerita hantunya merupakan "wira" Lat sewaktu cilik.[74] Cerita kartun pengembaraan perwira tempatan Raja Hamzahlah yang mengilhamkan Lat supaya menjadi kartunis.[10] Maka hasrat itu tercapai dengan Tiga Sekawan, kejayaan yang tercapai setelah cubaan gagal berkali-kali serta keazaman Lat bahawa beliau akan menjadi seorang kartunis seperti idolanya.[75] Raja Hamzah juga menjayakan komik kehidupan rumah tangga seperti Keluarga Mat Jambul dan Dol Keropok dan Wak Tempeh. Kartun-kartun ini menguatkan rasa terpesona Lat terhadap kehidupan sekeluarga serta gelagat kanak-kanak yang banyak membantunya dalam karya-karya seterusnya.[76] Lat berminat untuk mengkaji persekitarannya secara terperinci untuk dirakamkan dalam karya-karyanya. Keluarga Si Mamat dan Kampung Boy menggambarkan wajah dan perilaku watak-wataknya setepat-tepatnya. Penceritaannya ditulis dalam gaya yang amat natural bagi orang tempatan. Oleh itu, Lat mampu membuat para pembacanya mempercayai cerita-cerita dan watak-wataknya sebagai cukup "kemelayuan".[77]

Gaya kemudian

Setelah lawatan sambil belajar di London pada tahun 1975, karya-karya Lat menunjukkan kesan pengaruh kartunis editorial seperti Frank Dickens, Ralph Steadman, dan Gerald Scarfe.[78] Pada tahun 1997, Ron Provencher, seorang profesor emeritus di Universiti Northern Illinois, melaporkan bahawa gaya Lat mengingatkan para informannya mengenai persada perkartunan Malaysia akan The Beano.[79] Muliyadi menjelaskan bahawa "tema dunia kanak-kanak" seperti dalam The Beano dan The Dandy nyata dalam Keluarga Si Mamat.[80] Yang lain pula mengulas bahawa seni Lat menonjol dengan sendirinya. Kartunis Singapura, percaya bahawa Lat "berupaya mencipta gaya tempatan yang mengagumkan sambil mengekalkan keaslian",[32] manakala sejarawan komik, Isao Shimizu mendapati sungguhpun gaya lukis Lat ini "agak kasar", namun karya-karyanya "amat original" dan "penuh dengan kehidupan".[81] Redza menilai bahawa The Beano dan The Dandy merupakan pengaruh "pembentuk awal" kepada Lat sebelum beliau menemukan gaya sendiri.[82] Pada tahun 1999, Lent menyatakan penilaiannya:

Seni lukis Lat amat membangkitkan perasaan, umpama kehidupan sebenar, meskipun berlebih-lebihan herot-benyotnya. Watak-watak Malaysia ciptaan Lat ini dibezakan dengan perkaitan etnik mereka (contohnya, watak-watak Melayunya ada hidung bergelung tiga), yang sendirinya bukan perkara kecil. Lukisannya bercoret tebal, dialognya yang penuh perasaan dalam bahasa Inggeris mahupun Malaysia, serta apa yang kelihatan sebagai bahasa Cina, Tamil, dan latar belakang menghiburkan yang menyampaikan kisah-kisah tersendiri.[5]

Lukisan pena dakwat Lat ini begitu mengagumkan Larry Gonick sehingga kartunis berbangsa Amerika itu terasa macam hendak menguji kaji bahantara ini dalam bukunya, The Cartoon History of the Universe. Gonick cuba menggunakan bahantara tersebut seperti mana dengan berus yang biasa digunakannya, namun hasilnya tidak memuaskan.[83] Kadang-kadang, Lat mewarnai karya-karya, misalnya dalam Kampong Boy: Yesterday and Today (1993) dengan menggunakan cat air atau pen penanda.[1] Menurut Lent, Redza menilai bahawa Lat telah "mengangkat bidang perkartunan kepada tahap 'kesenian visual tinggi' dengan membuat komentar sosial dan 'pembinaan landskap'".[44] Bukan sahaja pengkritik seni itu yang memandang tinggi karya Lat. Jaafar Taib, kartunis dan penyunting majalah Gila-Gila, mendapati bahawa kartun-kartun Lat mengekalkan kelucuan dan kerelevannya sepanjang zaman. Jelasnya, sifat ini timbul dari gubahan karya Lat yang difikirkan dengan teliti yang membantu menyampaikan buah fikiran di sebalik kartun dengan jelas.[44]

Karya-karya Lat menunjukkan pemahaman dan kepekaan beliau akan kaum-kaum bukan Melayu; At a Sikh Wedding dipuji sebagai pemerian majlis perkahwinan yang tepat oleh golongan Sikh.

Topik sensitif

Sewaktu Lat mula melukis untuk New Straits Times, para kartunis politik tempatan mengambil jalan berlembut ketika melayan ahli-ahli politik Malaysia; rencana-rencana ahli politik itu dicipta kembali setepat-tepatnya manakala sebarang kritikan disuarakan dalam bentuk puisi yang halus. Bagaimanapun, Lat pula melampaui batas-batas itu; walaupun ahli-ahli politik tetap dilukiskan dengan rasa hormat, namun beliau membesar-besarkan sifat-sifat paras rupa dan perilaku mereka yang terkenal.[84] Lat mengingati pada tahun 1974, beliau disuruh supaya mengubah salah satu hasil lukisannya yang memperlihatkan belakang tubuh Perdana Menteri Tun Abdul Razak.[85] Lee enggan membenarkan kartun itu disiarkan tanpa dibuat perubahan, lalu menyoal kartunis itu "Kamu nak masuk penjarakah?!"[86] Apapun, pada tahun 1975, satu lagi cubaan Lat membuat kartun politik mendapat kelulusan daripada Lee.[87] Satiranya kali ini menampilkan karikatur pengganti Tun Razak, iaitu Tun Hussein Onn, menunggang seekor unta untuk berjalan kembali ke Kuala Lumpur dari Arab Saudi; apa yang melucukan adalah apabila Hussein memanggil untanya supaya perlahan sebaik sahaja membaca berita bahawa kakitangan awam bakal menerima kenaikan gaji apabila pemimpin negara itu pulang ke tanah air.[38]

Kartun politik terbitan sulung Lat ini merupakan ulasan yang "licik, tersirat, dan simbolik" terhadap Perdana Menteri negara.

Kelas politik Malaysia berasa makin selesa dengan karikatur Lat; mereka sama terhibur seperti seluruh masyarakat negara.[88] Muliyadi menyifatkan gaya Lat sebagai "licik, tersirat, dan simbolik", mengikuti bentuk-bentuk humor Malaysia yang tradisional dari segi etika dan estetika. Beliau dihormati oleh seluruh negara kerana patuh kepada tradisi dalam hasil seninya.[89] Apabila Lat ingin membidas ahli politik, beliau menggambarkannya dalam situasi yang "luar biasa atau di luar jangkaan" kepada status atau keperibadiannya dengan menggunakan kontras untuk menjadikan karyanya lucu.[90] Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri keempat Malaysia, acapkali menjadi sasaran Lat sepanjang kerjaya politiknya, sehingga segala rakaman Dr. Mahathir oleh pelukis ini selama 20 tahun menjadi cukup untuk dijadikan buku himpunan setebal 146 muka surat yang bertajuk Dr Who?! (2004).[91] Kepintaran siasah Lat bukan sahaja menyasarkan ahli politik tempatan, bahkan juga tindakan Israel di Timur Tengah dan tokoh-tokoh antarabangsa seperti pembesar utama Singapura, Lee Kwan Yew.[92] Sungguhpun banyaknya karya-karya yang berunsur politik, namun Lat tidak menganggap dirinya sebagai kartunis politik[93], serta mengakui terang-terang bahawa ada orang lain yang lebih hebat daripadanya dalam bidang kartun politik.[94]

Lat gemar menyampaikan buah-buah fikirannya dengan unsur berantagonis yang sedikit-dikitnya. Beliau mengendahkan nasihat pembimbingnya, Rejabhad, dan menunjukkan kesedarannya terhadap kepekaan masyarakat, terutamanya kaum, kebudayaan dan agama.[2] Apabila mencipta konsep kartunnya, beliau menghapuskan segala yang dipercayainya sebagai berniat jahat atau tidak peka.[95] Di Pameran Kartun Asia Keempat di Tokyo, Lat menjelaskan bahawa apabila membuat ulasan keagamaan dalam kerja-kerjanya, beliau mengulas agama Islam sahaja.[96] Dalam hal ini, Lat memanfaatkan bakat seninya untuk mendidik anak muda mengenai agamanya.[97] Lat mempercayai penyuntingnya untuk menyempurnakan tugas dan menggugurkan apa yang tidak boleh diterima secara sosial untuk dicetak. Dalam satu temu ramah, beliau meluahkan ketakselesaanya akan konsep penerbitan sendiri, atas pandangan bahawa pelukisan kartun yang tidak lancung dan tanpa pengawasan boleh menghasilkan kerja "sampah". Beliau lebih gemar bertegas dalam bidang-bidang yang mana beliau selesa atau cekap.[98] Lat tetap enggan mengubah apa-apa yang sudah dilukisnya; ada beberapa kerja kartunnya yang tidak dapat diterbitkan kerana penyunting enggan membenarkan pencetakannya tanpa perubahan.[99] Apabila perkara sebegitu terjadi, penyunting memaku ruangan kartunnya dalam surat khabar. Akui Lat tentang kerja-kerjanya yang tidak tercetak: "Baiklah, mungkin saya melampaui batas sedikit, namun saya tak pernah mendapat susah; terus-terang, hanya sebilangan kecil kartun saya yang dipaku."[32]

Rujukan

WikiPedia: Lat http://www.asiaone.com/News/AsiaOne+News/Malaysia/... http://www.asiaone.com/News/Latest+News/Showbiz/St... http://www.asiaone.com/print/News/Latest+News/Show... http://books.google.com/books?id=1sVP1HbUno4C http://books.google.com/books?id=1sVP1HbUno4C&pg=P... http://books.google.com/books?id=CdoK7S3o4U8C http://books.google.com/books?id=CdoK7S3o4U8C&pg=P... http://books.google.com/books?id=DgCAQXoMQ3kC http://books.google.com/books?id=DgCAQXoMQ3kC&pg=P... http://books.google.com/books?id=IhrwflT-koMC